Thursday, October 20, 2011

Motivasi Diri: Dasyatnya FITNAH


Assalamualaikum...
Isu yang cuba Aku ketengahkan dan ceritakan kali ini adalah berkenaan Fitnah. Hal ini kerana perbuatan saling fitnah-menfitnah terlalu banyak berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Hal ini Disokong oleh satu petikan Hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang membawa maksud, "Akan muncul suatu ketika iaitu Ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlakunya jenayah" (Riwayat Muslim).

Apa yang dimaksudkan dengan Fitnah?... Fitnah adalah perbuatan dengan sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan orang lain, menokok tambah keaiban dan kelemahan orang serta memalsukan kebaikan sehingga ia menjadi keburukan. Ia boleh diaplikasikan dalm pelbagai cara, samada dalam bentuk lisan atau juga dalam bentuk bertulis seperti surat layang, SMS, membuat entry atau 'Chat' pada laman web sosial dan e-mail.

Fitnah adalah satu daripada sifat mazmumah iaitu sifat tercela dalam agama Islam dan ia dilarang Allah s.w.t seperti dalam firman-Nya yang bermaksud, " Fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh". Petikan Surah Al-Baqarah ayat 191. Selain dari itu di dalam Surah Al-Qalam ayat 29 juga ade menyebut tentang Fitnah, ayat tersebut yang membawa maksud, "Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah."

Pada kebiasaannya, Pembuat fitnah akan menyembunyikan diri atau berselindung supaya tidak diketahui kerana tidak mahu bertanggungjawab dan menyedari perbuatan itu palsu. Dalam situasi begini, Pembuat Fitnah tidak akan berjaya jika tidak dibantu oleh Individu yang menyebarkannya. Maka dengan itu, kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Lazimnya, perbuatan fitnah berlaku adalah kerana didorong oleh sifat tamak, iri hati dan mementingkan diri sendiri. Ia juga boleh berlaku jika seseorang itu lebih mengutamakan kedudukan dan keduniaan melebihi kepentingan agama.

Untuk menguatkan lagi isu ini, aku juga ingin berkongsikan sebuah cerita yang mana menceritakan bahawa fitnah itu sangat bahaya. Cerita ini bermula pada suatu zaman dahulu kala, Di sebuah negeri ada seorang lelaki yang kaya sedang menuju ke pekan untuk membeli Hamba. Ketika dalam urusan memilih, Dia diperlihatkan seorang hamba yang cukup sifatnya dan tiada cacat celanya. Akan tetapi, Beliau telah dimaklumkan oleh Si penjual bahawa hamba tersebut gemar membuat fitnah. Lelaki kaya itu menganggap fitnah adalah perkara biasa, ia sangat ringan dan remeh, maka dia terus membeli hamba tersebut.

Setelah sekian lama Hamba tersebut di rumah majikannya, hamba itu mula membuat cerita kepada isteri lelaki kaya tersebut bahawa suaminya ingin berkahwin lagi. Maka hal itu menyebabkan Si Isteri berasa sedih dan marah. Dalam kesempatan itu, Si Hamba itu mencadangkan isteri majikannya segera menggagalkan rancangan perkahwinan itu dengan ubat guna-guna iaitu dengan cara mengambil bulu roma pada leher suaminya dengan menggunakan pisau yang tajam agar suaminya tidak terasa sakit ketika dia tidur. Si Isteri bersetuju tanpa usul periksa dan akan memastikan ia berjalan dengan lancar.

Lain pula situasinya Si Hamba ini bila menceritakan kepada Tuannya, Dia memberitahu bahawa isteri Tuannya akan membunuh beliau ketika dia tidur. Maka terkejutlah Si Suami ini bila mendengar perkhabaran tersebut. Maka beliau pun membuat perancangan untuk mengelakkan daripada dia dibunuh Isterinya sendiri. Pada malam kejadian, Si Suami berpura-pura tidur, maka datanglah Si Isteri dengan membawa pisau yang tajam. Ketika Leher lelaki tersebut dipegang isterinya, dengan pantas lelaki tersebut merampas pisau berkenaan lalu terus menikam isterinya hingga mati.

Maka keesokan harinya tersebarlah cerita berkenaan bahawa si suami telah membunuh si isteri dan cerita tersebut telah didengari oleh kedua-dua pihak keluarga si Suami dan Si Isteri. Hal ini menyebabkan Keluarga Si Isteri tidak berpuas hati dan telah bertindak dengan membunuh kembali lelaki kaya tersebut. Sekali lagi ia menjadi kucar-kacir bila Keluarga Si Suami pula mendapat pengkhabaran itu. Maka, berlakulah pembunuhan secara besar-besaran antara kedua-dua keluarga sehingga tidak seorang pun yang terselamat.

Kisah ini memberi pengajaran yang sangat penting kepada kita semua bahawa Bahaya Fitnah mampu menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa. Justeru itu, kita tidak boleh memandang Fitnah itu sebagai perkara yang ringan dan remeh, kita haruslah menilai kesahihan dan jangan cepat percaya dengan berita yang disampaikan seseorang. Selain dari itu juga janganlah pula kita membocorkan atau mencari kesalahan orang lain dengan mengintip. Hal ini jelas dilarang Allah dalam firman-Nya , "Dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang lain", Surah Al-Hujurat ayat 12. Semoga kita semua dijauhkan dari sifat tercela ini dan semoga Allah sentiasa melindungi kita semua dari menjadi mangsa Fitnah... InsyaAllah.... 




6 comments:

  1. InsyaAllah, semoga Allah sentiasa melindungi kita semua dari menjadi mangsa Fitnah..Amin..:)

    ReplyDelete
  2. Yup.. Kejahatan yang lambat-laun akan diketahui jua... :)

    ReplyDelete
  3. Cikgu Nadia: Yup... Smue dtgnye dlm diri kita sendiri... Baik jalan yg kite pilih, maka baiklah ia... Jika sebaliknye, begitulah sebaliknye... :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...