Tuesday, October 11, 2011

Motivasi Diri: Istimewanya Umat Muhammad


Assalamualaikum... Bersyukur ke hadrat Illahi kerana saya masih diberi kesihatan fizikal dan mental untuk terus menulis dalam Blog ini. Cerita kali ini adalah mengenai keistimewaan Umat Nabi Muhammad s.a.w yang mana seperti kita sangat-sangat ketahui adalah Umat akhir zaman. Siapa Umat Nabi Muhammad s.a.w?... Kita semua, penganut agama Islam...

Kita sepatutnya sangat bersyukur kerana dijadikan sebagai Umat Nabi Muhammad s.a.w kerana terlalu banyak keistimewaan yang diberikan kepada kita. Pokok pangkalnya, semua terletak pada tangan kita untuk memilih jalan yang lurus atau yang berliku. Semoga Allah sentiasa melindungi Hamba-Nya yang taat... Amin. 

Cerita ini bermula pada suatu hari, Si Iblis terkutuk datang menghadap dan berdialog dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam perbualan tersebut Si Iblis durjana ini dengan bangga menceritakan segala perbuatan jahatnya ke atas umat manusia dari zaman Nabi Adam a.s lagi. Akan tetapi sepanjang kegiatan jahat yang dilakukannya itu telah menimbulkan kemusykilan dan kekeliruan terhadap umat Muhammad.

Maka Nabi Muhammad s.a.w bertanya, "Wahai Iblis yang terkutuk, apakah yang engkau musykil dan kelirukan?". Iblis terkutuk dengan pantas terus bersuara, "Wahai Muhammad yang Mulia. Sebenarnya aku keliru dan musykil dengan dua perangai dan sikap yang ada pada umatmu. Pertama, mereka mengaku cintakan Allah tetapi mereka sangat setia kepada aku dengan melakukan pelbagai kejahatan, dan yang kedua adalah mereka marah kepada aku tetapi mereka sangat patuh kepada hasutan dan godaan aku."

Kemudian Allah berkata, " Wahai Iblis yang terkutuk. Demi kemuliaanku dan kebesaranku, Aku anugerahkan ke atas umat Muhammad dua kebahagiaan. Pertama, perasaan cinta mereka kepada Aku menjadi penebus segala kesalahan mereka dan yang kedua, kemarahan mereka kepada engkau juga menjadi penebus kesalahan mereka."

Setelah diberitahu perkara tersebut oleh Allah maka Nabi Muhammad s.a.w kemudiannya terus menyampaikan kata-kata itu kepada Si Iblis Durjana. Si Iblis tadi tercengang dan terpinga-pinga apabila mendengarnya. Dengan itu Nabi Muhammad s.a.w berkata, "Wahai Iblis yang Terkutuk, pergilah engkau dari sini."

Dengan perasaan yang sangat hampa dan sangat sedih, Si Iblis Durjana tersebut berlalu pergi dari situ sambil mengenangkan untung nasibnya. Sesungguhnya dia tidak menyangka bahawa Allah akan memberikan keistimewaan yang sebegitu rupa kepada seluruh Umat Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang dapat aku simpulkan daripada kisah ini adalah pintu taubat sentiasa terbuka buat Umat Nabi Muhammad s.a.w. Seharusnya kita sebagai umat manusia perlulah sentiasa sedar dan menginsafi setiap perkara yang telah berlaku dan telah dilakukan, janganlah kita terlampau angkuh dan bongkak dengan kelebihan yang kita ada pada masa hidup kita. Sehubungan itu kita perlulah sentiasa ingat-mengingati antara satu sama lain sementara masih ada peluang waktunya. Sesungguhnya, hidup dan mati kita adalah Di tangan-Nya... Allahualam.

3 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...